Bantu Gelandangan

Mari Bantu Golongan Ini

By: Mikh & 1Hope Foundation

Mereka yang Terlupakan: Wajah-Wajah Tanpa Nama di Kuala Lumpur

Di celah-celah bangunan pencakar langit yang megah, jalan-jalan sibuk dan pusat beli-belah bergemerlapan di Kuala Lumpur, wujud satu golongan yang hampir tidak kelihatan — mereka yang tidak bernama, tidak bersuara dan tidak bertempat tinggal. Mereka ini adalah gelandangan Kuala Lumpur, berusia antara 26 hingga 65 tahun, yang telah bergelut dengan kesusahan sejak tahun 2000 lagi. Hidup mereka jauh daripada kemewahan kota, terperangkap dalam kitaran kemiskinan bandar yang membelenggu.

Sebahagian besar mereka tinggal di bawah jambatan, di kaki lima bangunan atau mana-mana sudut yang sedikit terlindung daripada panas terik dan hujan lebat. Ketika malam menjelma, mereka menggulung badan dengan kotak-kotak lama atau kain buruk yang dijumpai. Tidak ada tilam empuk, tidak ada bumbung yang kukuh — hanya langit malam sebagai peneman.

Pada siang hari, mereka berjalan kaki tanpa arah, mencari air untuk membersihkan diri atau makanan bagi mengisi perut yang lapar. Ada yang diberi sumbangan oleh orang awam — sekadar sekeping roti, sebungkus nasi atau beberapa keping wang kecil. Ramai antara mereka, terutama warga emas, tidak mampu bekerja kerana kesihatan yang kian merosot. Mereka duduk diam, tidak meraih simpati secara paksaan. Mereka hanya menunggu, dengan harapan yang tipis.

Kisah mereka adalah kisah tentang kehilangan — kehilangan tempat tinggal, kehilangan pekerjaan, kehilangan harga diri dan dalam banyak kes, kehilangan keluarga. Mereka bukan pemalas. Mereka bukan penjenayah. Mereka adalah manusia biasa yang pernah ada kehidupan normal seperti kita, tetapi jatuh akibat krisis ekonomi, kesihatan yang merosot, trauma keluarga atau nasib yang malang.

Saya, menemukan mereka semasa menjalankan misi kemanusiaan di Kuala Lumpur dan Selangor dari tahun 2022 hingga 2024. Saya melihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana seorang lelaki tua duduk di tepi longkang sambil menghirup air paip, dan seorang wanita tidur di bawah jejantas dengan wajah yang penuh keletihan. Mereka tidak meminta lebih. Hanya makanan, sedikit wang tunai, sehelai pakaian atau tempat untuk berteduh.

Apa yang boleh kita lakukan untuk mereka?

Kita boleh hulurkan makanan, menyediakan pusat perlindungan sementara, kemudahan mandi dan pakaian bersih. Kita boleh bantu mereka cari pekerjaan yang sesuai, beri rawatan kesihatan asas atau bimbingan untuk membina semula kehidupan.

Mengapa kita perlu bantu mereka?

Kerana mereka adalah sebahagian daripada kita. Kerana tiada siapa yang layak dilupakan hanya kerana takdir hidupnya berubah. Kerana empati adalah asas kemanusiaan. Dan kerana satu hari nanti, kita juga mungkin perlukan tangan yang membantu.

Kisah gelandangan di Kuala Lumpur bukan sekadar statistik. Ia adalah luka yang terbiar, jeritan yang tidak didengar, dan tangisan yang tersembunyi di balik dinding kota. Marilah kita bersama-sama, menjadi cahaya dalam dunia mereka yang kelam.

Saya(Mikh), bersama 1HopeFoundation telah membantu komuniti gelandangan dan miskin bandar sejak misi pertama saya pada tahun 2015 hingga ke hari ini, 2024. Selama hampir satu dekad, kami berusaha membawa makanan, pakaian, dan harapan kepada mereka yang terpinggir.

Jika saya dan pasukan kecil kami mampu melakukan ini dengan sumber yang terhad, mengapa tidak kita semua? Setiap sumbangan, walau kecil, mampu membawa perubahan besar.

Apa yang kami perlukan hanyalah sokongan anda yang ikhlas dan tangan yang sudi membantu. Bersama, kita boleh memerangi isu kemiskinan dan gelandangan. Mulakan sekarang — kerana anda masih mampu.